Wednesday, 22 July 2015

ISU GHB SUDAH BIKIN PKR RETAK : AZMIN KATA ITU HAL PAS.. RAFIZI KATA PKR SOKONG GHB !



PKR masih mahu bermain silap mata dengan rakyat, khususnya pengundi Melayu-Islam berhubung pendiriannya dalam persahabatan dan kerjasama politiknya dengan PAS.



Sungguhpun Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli minggu lalu mengumumkan bahawa beliau menyokong Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk menubuhkan sebuah parti Islam baharu, tiada kenyataan rasmi dibuat oleh pimpinan parti itu.
Malah sebaliknya, Timbalan Presidennya, Azmin Ali, menegaskan bahawa beliau dan pimpinan parti lain tidak berhasrat dan tidak pernah mencampuri urusan dalam parti-parti sahabat PKR. 
Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, beliau yakin segala kemelut dalaman melibatkan PAS sekarang akan dapat diselesaikan secara baik.
"Saya tidak pernah mencampuri urusan dalaman parti-parti yang lain.
"Saya percaya dengan kebijaksanaan kepimpinan bahawa perkara ini boleh diselesaikan dengan baik dan yang penting pemimpin mesti bersatu hati untuk meneruskan perjuangan dalam kerangka besar dan dasar-dasar yang dapat mermatabatkan rakyat Malaysia," katanya.
Keadaan dilihat semakin janggal apabila seorang lagi pemimpin kanan PKR, kelmarin disenaraikan sebagai salah seorang penceramah dalam siri Ceramah Perdana GHB di Dewan Perniagaan Cina Kota Baru, Kelantan.
Kali ini PKR diwakili oleh Pengarah Pilihanrayanya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di kalangan 17 penceramah dari serpihan PAS dan DAP yang berucap untuk memancing rakyat menyokong parti Islam baru tajaan GHB.
Keadaan ini sudah tentu dilihat mempamerkan ‘sikap talam dua muka’ PKR yang sejak kesekian kalinya tidak bersikap telus terhadap PAS sebagai sebuah parti kerabatnya.
Dalam kenyataannya minggu lepas Rafizi menegaskan bahawa beliau sahaja menyokong langkah GHB itu malah akan turut berkempen ke seluruh pelosok negara untuk parti baru itu.
GHB sedang kumpul sokongan
Sayugia diingat bahawa GHB adalah sebuah gerakan yang dalam rangka penjelajahan ke seluruh negara untuk memungut sokongan, terutama di kalangan ahli PAS, supaya menyertai parti politik Islam yang sedang diusahakannya.
Penaja-penaja GHB seperti Mohamad Sabu dan pemimpin PAS dari golongan non-ulama yang kecundang dalam pemilihan parti itu awal bulan lalu secara terus terang menyatakan objektif penubuhan parti baru itu. 
Bagi mereka usaha itu tidak lain daripada usaha membentuk sebuah pakatan politik baru yang ditimang sebagai Pakatan 2.0 bagi menggantikan tempat PAS sebagai anggotanya. 
Ini berikutan pengumuman unilateral DAP bahawa Pakatan Rakyat yang dibentuk pada 2008 itu sudah berkubur kerana ‘PAS telah memutuskan hubungannya dengan DAP’.
Kenyataan Rafizi mendapat kecaman Ahli Jawatankuasa PAS, Zaharudin Mohamad yang menyifatkan Setiausaha Agung PKR itu sebagai ‘kurang ajar’ kerana mencampuri urusan dalaman parti Islam itu.
Menantu kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berang kerana Rafizi menyokong GHB walaupun majoriti penajanya masih ahli PAS justeru ia adalah masalah dalaman parti Islam itu.
"Rafizi jangan campur urusan PAS. Nampaknya Rafizi ni gelojoh seperti orang terkencing sebelum sampai tandas,” katanya.
“Selagi Gerakan Harapan Baru belum keluar PAS dan belum bercerai rasmi, maka kenyataan Rafizi saya anggap campur tangan dan kurang ajar," kata Zaharudin kelmarin.
Pada mulanya, PKR tidaklah menunjukkan kecenderungannya pada PAS atau parti baru yang bakal ditubuhkan. Bagaimanapun inisiatif Rafizi minggu lalu itu sudah tentu mencuit sensitiviti pimpinan PAS.
Sikap tidak telus PKR ini menimbulkan pelbagai persoalan apakah demikian pendirian rasmi parti itu dalam polemik dalam PAS hari ini? Jika benar demikian mengapa tidak diumumkan?
PKR balas dendam kepada PAS
Adakah ini cara PKR melampiaskan dendamnya terhadap PAS yang secara terbuka menyanggah pelaksanaan projek Langkah Kajangnya tahun lalu dan kemudian menjebak PKR dalam “salah faham” dengan pihak Istana Selangor?
Dalam pasca Langkah Kajang tahun lalu, PAS malah menyokong supaya ahli PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengekalkan kerusi Menteri Besar Selangor tetapi PKR sebaliknya memecat keahlian bekas ahli korporat itu. 
Ini mencetuskan gejolak politik yang besar di Selangor sehingga PAS kemudiannya mengambil inisiatif mencalonkan kepada pihak Istana Selangor Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali supaya dilantik memegang jawatan berkenaan. 
Kini giliran PAS pula diterpa pancaroba dalaman parti di mana puak non ulama yang kecundang menjatuhkan kepimpinan ulama bermuafakat untuk menubuhkan parti Islam baru bagi menggantikan PAS yang dianggap ‘sudah tidak sesuai dengan zaman dan tidak dapat diselamatkan lagi’.
Anehnya, gerakan yang menamakan diri GHB ini enggan pula meletakkan jawatan dalam PAS dan berhenti menjadi ahli. Ini dilihat sebagai pasport menyelinap dalam infrastruktur politik PAS berkempen untuk GHB.
Ia mungkin juga boleh dijadikan bahan pertikaian dan mengheret PAS ke mahkamah jika usaha menubuhkan parti baru itu gagal. Sikap mereka jelas – kalau GHB gagal, PAS pun tidak boleh berjaya.
Sikap teragak-agak penaja GHB ini juga kini ditunjukkan oleh PKR yang bertindak ‘bak gunting dalam lipatan’ dalam hubungannya dengan PAS. 
Di satu segi ia mengumumkan tidak mencampuri pergolakan politik PAS tetapi pada masa yang sama ia berkempen untuk anasir yang hendak meruntuhkan PAS!
Benar kata pepatah, ‘Jong pecah yu kenyang’. Bila PAS menghadapi perpecahan, PKR nampaknya mengambil kesempatan untuk tambah melemahkan rakan kongsi politiknya itu. 
Cuma yang perlu diperingatkan puak non ulama ini supaya berhati-hatilah jangan menjadi “Pak Kaduk ayam menang sabung tapi kampung (Islam PAS) tergadai”. 

Yang paling nyaman dalam kemelut ini sudah tentu DAP. Ia akan bekerjasama dengan parti baru yang tentu berprofil kecil dan pengaruh yang terhad di mana fungsinya hanya untuk memecahkan undi Melayu-Islam dan menjamin lebih banyak kerusi perwakilan negeri dan parlimen untuknya.

abdulrahmanmalik

2 comments:

  1. Keras perut aku tengok gambar rafizi tu kahkahkah

    ReplyDelete
  2. By next 16 Sept , new state election in Selangor

    ReplyDelete

KOMEN JANGAN HINA AGAMA DAN PERKARA SENSITIF. AKU TAK TANGGUNGJAWAP KALAU KORANG KENA.