Saturday, 8 August 2015

AHLI PARLIMEN KOTA RAJA KATA ...SEDIA DIPECAT ! PAS TUNGGU APA LAGI..



Kumpulan progresif PAS yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) terbuka dengan apa sahaja tindakan yang bakal diambil terhadap mereka, termasuk digugurkan keahlian, demikian menurut Dr Siti Mariah Mahmud.



Namun begitu, Ahli Parlimen Kota Raja itu bertegas sebarang tindakan yang akan ditentukan PAS pada Sabtu ini perlulah berdasarkan lunas perlembagaan parti itu.
"Saya bersedia dengan apa pun kemungkinan. Soalan saya apakah yang paling teruk akan diambil terhadap kita? Mati kan? Adakah mereka nak hukum bunuh terhadap kami? 
"Mereka (PAS) kena melalui proses parti, tindakan disiplin di dalam PAS. Mereka tak boleh gugurkan kami dan halang kami begitu sahaja, kena ada perbicaraan iaitu proses keadilan," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Siti Mariah mengulas mesyuarat yang akan diadakan oleh PAS Pusat, Sabtu ini bagi membincangkan tindakan disiplin yang akan dikenakan terhadap kesemua pimpinan dan ahli parti itu yang menyertai GHB.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberitahu kepimpinan tertinggi parti kini sudah menerima laporan daripada setiap badan perhubungan negeri berkenaan penglibatan ahli-ahli di dalam gerakan itu.
Sementara itu apabila ditanya apakah tindakan itu kelak akan menjejaskan perjalanan GHB, Siti Mariah bertegas pimpinan gerakan amat komited dengan hala tuju politik Islam yang baru menerusi gerakan itu.
"Kita kena teruskan, itulah keyakinan kita bahawa kita perlukan satu parti politik alternatif Islam. Seperti yang Presiden (PAS) sebutkan, semuanya di dalam ilmu Allah, Dia yang mengetahui segala-galanya, dan kita sebagai manusia berusaha atas nawaitu dan keyakinan kita demi Islam. 
"Pesan (Allahyarham) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dahulu, apabila bercakap kena bercakap hal Islam, bukan PAS. Jika mereka yakin kepada Islam, maknanya mereka juga akan sokong bila kita buat yang betul untuk Islam," terangnya lanjut.
Umum mengetahui GHB ditubuhkan oleh kumpulan progresif PAS atau dikenali sebagai G-18 selepas mereka tewas di dalam Muktamar PAS Kali ke-61 pada Jun lalu.
Dipengerusikan oleh bekas Timbalan Presiden PAS iaitu Mohamad Sabu, GHB juga dianggotai oleh Sallahuddin Ayub, Mujahid Yusof Rawa, Dr Dzulkefly Ahmad, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Siti Mariah Mahmud, Dr Hatta Ramli dan Ahmad Awang.
GHB turut menjadikan perjuangan utama PAS iaitu hudud sebagai sebahagian agenda utama gerakan berkenaan, selain mahu memainkan peranan penting dalam menyatu-padukan parti-parti politik pembangkang di negara ini.
DAP dan PKR juga sebelum ini juga tidak menafikan mengadakan perbincangan beberapa kali dengan GHB bagi membentuk Pakatan Rakyat 2.0.

No comments:

Post a Comment

KOMEN JANGAN HINA AGAMA DAN PERKARA SENSITIF. AKU TAK TANGGUNGJAWAP KALAU KORANG KENA.