Thursday, 6 August 2015

KENYATAAN RASMI SPRM : DERMA RM2.6 BILLION DAN SIASATAN SRC INTERNATIONAL ADALAH DUA ISU BERBEZA.



PENJELASAN MENGENAI ISU DANA RM2.6 BILION DAN SIASATAN SRC INTERNATIONAL

Susulan kepada kenyataan media bertarikh 3 Ogos 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin menjelaskan bahawa siasatan  SPRM hanya memfokus ke atas isu berkaitan dengan SRC International dan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

SPRM mendapati banyak pihak masih tidak jelas atau terkeliru dengan menganggap bahawa SPRM telah menghentikan siasatan berkaitan dengan isu SRC International atau pun mengenai dana RM2.6 bilion.

Oleh itu, SPRM mahu menjelaskan beberapa perkara.   ·

SIASATAN BERKAITAN 1MDB

 Sebagaimana telah disebutkan beberapa kali sebelum ini, SPRM menekankan  bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan isu 1MDB. Sebaliknya, siasatan keseluruhan kes  1MDB  dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia.

SPRM berharap orang ramai akan memahami bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan 1MDB.    

· SUMBANGAN DANA RM2.6 BILION DITERIMA OLEH PERDANA MENTERI

 Sebagaimana disebutkan dalam kenyataan media bertarikh 3 Ogos 2015, hasil siasatan SPRM mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun milik YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah derma yang disumbangkan oleh pihak tertentu.

SPRM tidak boleh mendedahkan identiti pihak yang mendermakan dana RM2.6 bilion kepada YAB Perdana Menteri.

 Bagaimanapun untuk makluman orang ramai, SPRM telah memperoleh penjelasan daripada pihak penderma tentang derma yang diberi kepada YAB Perdana Menteri.

SPRM telah mendapat tahu tentang butir penderma melalui dokumen yang diambil dari bank dan didapati bahawa terdapat empat surat yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke dalam akaun YAB Perdana Menteri.

Dalam dokumen itu ada dijelaskan bahawa sumbangan RM2.6 bilion adalah sebagai derma.   SPRM telah mendapatkan penjelasan daripada pihak penderma yang berasal dari Timur Tengah dan pihak berkaitan juga telah mengesahkan sumbangan derma tersebut.

 Sumbangan derma RM2.6 billion itu tiada kaitan langsung dengan 1MDB. Perbincangan juga telah diadakan dengan Peguam Negara Malaysia yang meminta supaya SPRM membuat penjelasan mengenai perkara ini sementara siasatan masih dijalankan.

 Sehubungan itu, SPRM juga ingin memaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan diminta untuk memberi penjelasan mengenai sumbangan derma yang diterima beliau kepada SPRM.   ·

SIASATAN MENGENAI SRC INTERNATIONAL

 SPRM juga ingin mengulangi bahawa siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih dijalankan oleh SPRM.

Siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion dan isu SRC International merupakan dua perkara yang berbeza.

 Oleh itu, SPRM mahu menekankan bahawa SPRM tidak pernah menyatakan kes yang disiasat ini  telah ditutup.

Sebaliknya, SPRM hanya menyatakan ia bukan dari wang 1MDB. Diharap penjelasan ini akan memberi gambaran sebenar mengenai isu yang disiasat oleh SPRM. SPRM sekali memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional.

Adalah diharapkan semua pihak memberi ruang kepada SPRM dalam menjalankan siasatan  dengan menyeluruh tanpa membuat sebarang spekulasi.  

Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa fear or favour. 

SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan.   ·

KEDUDUKAN PASUKAN PETUGAS KHAS

 Mengenai persoalan mengapa SPRM yang membuat kenyataan media pada 3 Ogos 2015 tanpa penglibatan Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia, ingin dijelaskan bahawa SPRM membuat pengumuman tanpa melalui Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara Malaysia, bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas.

Sebaliknya agensi-agensi penyiasat terbabit boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang masing-masing. Di peringkat SPRM, pasukan petugas khas dalaman bagi menyiasat kes SRC International dan sumbangan derma RM2.6 bilion masih diteruskan.

 Agensi masing-m asing mempunyai pasukan petugas khas dalaman  mereka sendiri dan akan mengemukakan hasil siasatan masing-masing kepada Peguam Negara Malaysia untuk diambil keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya.  

 SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA PUTRAJAYA 5 OGOS 2015

1 comment:

  1. saya bukan robot6 August 2015 at 10:23

    Terlalu banyak kejanggalan yg berlaku.Bermula dengan pemecatan gani patail,ketua sb,pelantikan menteri anggota pac,pelantikan ketua/pegawai atasan sprm baru,siri penahanan pegawai2 penyiasat sprm dan bank negara oleh polis dan banyak lagi.Semuanya berkaitan 1mdb dan 2.6b.

    Tak kira sama ada 2 kes ini berbeza atau berkaitan,kejanggalan2 yg berlaku tetap menunjukkan ada sesuatu yg 'tak kena' sedang berlaku.

    Pada awal penubuhan pasukan petugas khas dan pac,nampak meyakinkan dan telus.Keempat2 anggota pasukan petugas khas ini nampak berwibawa dan gabungan keempat2 kuasa mereka nampak sukar diganggu gugat oleh pihak yg terlibat dan berkepentingan.Malangnya semuanya menjadi kucar-kacir dan mengelirukan apabila Peguam Negara sendiri yg mengetuai pasukan petugas khas dipecat secara tiba2 dengan alasan yg direka2.Selepas pemecatan yg menjadi tanda tanya rakyat itu bekas peguam negara terus membisu seribu bahasa seolah2 'didiamkan' atas sebab2 yg tak diketahui.

    Orang no 1 sprm pula terus bercuti panjang atau disuruh bercuti sambil orang2nya yang terlibat dengan siasatan terus ditahan dan disiasat sambil pejabat mereka digeledah oleh pihak polis.Bayangkan sprm sedang kecoh 'diserang' polis saban hari tapi ketuanya terus bercuti seolah2 tidak ada apa2 yg penting berlaku.Nampak tak permainan 'tangan ghaib' di situ?Selepas ini mungkin giliran bank negara pula.

    Tiba2 pula AG yg baru mengatakan tidak perlu pasukan petugas khas ini atau dengan kata lain pasukan petugas khas ini telah pun dibubarkan secara tak langsung.Dibubarkan atas arahan siapa?Ini berpadanan dengan tindakan polis yg merupakan salah satu drpd anggota pasukan petugas khas ini yg sedang menggila 'menyerang' 2 lagi rakan sepasukannya.Di situ menunjukkan pasukan ini sengaja dipecah2kan,mungkin untuk tujuan pecah dan perintah.Entiti yg berpecah lebih mudah diperintah bukan?

    Secara tak langsung juga sebarang kenyataan yg dikeluarkan oleh ketiga2 bekas pasukan petugas khas ini selepas 'kekecohan' ini sudah tidak dipercayai lagi dan selayaknya dibakulsampahkan.Sebab itu jugalah banyak pihak yg mendesak supaya pihak yg disiasat iaitu pm sendiri sepatutnya direhatkan sementara supaya tidak mengganggu siasatan.Bayangkan orang sedang disiasat berkuasa ke atas orang yg sedang menyiasatnya.Langsung tak masuk dek akal dan menjadi bahan jenaka rakyat dan satu dunia gelakkan kita.

    ReplyDelete

KOMEN JANGAN HINA AGAMA DAN PERKARA SENSITIF. AKU TAK TANGGUNGJAWAP KALAU KORANG KENA.