Rosmah, yang juga Penaung Skuad Sayang, berkata skuad khas itu juga perlu berperanan mempertahankan dasar-dasar parti dan kerajaan serta menjawab segala tuduhan pembangkang.

“Biar rakyat di akar umbi tahu apa yang telah saudari perjuangkan demi rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis tahunan bersama Penaung Skuad Sayang 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Rosmah turut mencadangkan sayap wanita parti-parti kompo­nen BN dan Skuad Sayang men­jalin kerjasama strategik bagi merencana program dan inisiatif mendekati rakyat.

“Selain menjurus kepada khid­mat bakti, kolaborasi ini juga mampu menjamin perpaduan masyarakat berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Dalam pada itu, Rosmah ber­kata wanita perlu menguasai teknologi maklumat dan penggunaan media sosial bagi menangkis tohmahan dan tuduhan liar terhadap parti dan para pemimpinnya.

“Sebagai nadi transformasi negara, wanita harus bergerak dan melangkah setapak ke hadapan dengan terus menguasai teknologi terkini. Kita tidak boleh lagi ketinggalan dalam ledakan teknologi semasa,” katanya.

Menzahirkan kebimbangan terhadap penyebaran fitnah di media sosial, Rosmah berkata, beliau sedih dan terkilan dengan pelbagai tohmahan, fitnah dan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap keluarganya termasuk suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak. – BERNAMA