Thursday, 10 December 2015

PAU : UMNO HULUR TANGAN SAHABAT DENGAN PAS, CITE SISTEM 2 PARTI DLL.


UMNO hari ini secara rasmi menghulur ‘tangan persahabatan’ kepada PAS bagi membina dan membangunkan Malaysia mengikut syariat Islam selepas parti Islam itu tidak lagi bersama pembangkang, khususnya DAP.

Tali silaturahim itu dihulurkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Najib melahirkan kegembiraanya kerana PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang selepas ‘disepak dan diterajang keluar’ oleh rakan-rakan pembangkangnya.

“Maka saudara dan saudari…kita di dalam UMNO, berasa lega, malah gembira, pabila PAS kini tidak lagi bersama dengan parti pembangkang.

“Dengan hati yang terbuka dan nubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhuwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatnya,” katanya.

Mengenai kenyataan yang mahukan negara menjurus kepada sistem dua parti, Najib dengan tegas menyatakan ia tidak akan berlaku dan UMNO tidak akan menerimanya.

“Mana boleh… mana boleh perkara ini kita terima,” katanya.

Katanya, UMNO tidak akan menerima seruan itu bukan atas dasar ia tidak faham pengertian demokrasi tetapi ‘seruan tidak bijaksana’ itu berbahaya.

Najib berkata, orang Melayu dan ahli UMNO perlu berjaga-jaga dan berwaspada dengan seruan terhadap dua sistem parti itu dan jangan sampai kita terjun ke dalam perangkap ini.

Realiti politik di Malaysia hari ini, katanya ialah rakyat mempunyai dua pilihan sahaja iaitu sama ada gabungan yang dipimpin oleh UMNO atau satu lagi yang didominasi oleh DAP.

“Maksud saya, seandai dan sekiranya UMNO ditolak, negara ini akan diperintah oleh mereka yang antiperjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.

“Bencananya, yang akan menimpa, apakah kita mahu masa depan anak cucu dan agama Islam dipertaruh kepada selain daripada kepimpinan Melayu dan Islam sedia ada? Nauzubillah,” katanya.

Menjadikan DAP sebagai sasaran dalam ucapannya itu, Presiden UMNO itu berkata, parti itu tidak pernah setia dengan rakan-rakan gabungannya dan kini cuba “menguasai” parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.

Beliau berkata, tindak-tanduk DAP itu turut dapat dilihat di Selangor apabila pemimpin-pemimpin parti itu menyatakan hasrat untuk bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi PAS sebelum ini.

Najib berkata, keangkuhan DAP juga terserlah di Sarawak, di mana parti itu memutuskan hubungan dengan PAS dan PKR hanya kerana ingin bertanding di lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri itu.

“Itulah dia DAP, yang tidak pernah setia dengan rakan gabungannya. Tahun 1990, mereka membentuk gabungan pembangkang. Lalu berpecah pada tahun 1995. Bergabung semula di tahun 1999. Kemudian tahun 2004, berpisah lagi,” kata Najib.

Puak-puak DAP itu, kata Najib, tidak pernah bersatu hati dengan pakatan mereka dan meminta rakyat supaya berfikir serta merenungkan keupayaan mereka untuk memerintah negara ini. SUMBER.

3 comments:

  1. 1. Aku sokong 200% pendapat PM DS Najib sebagai penyuara ulong dari Presiden UMNO. Aku sangat gembira dan bahgia jika hasrat YB PM DS Najib Berjaya menyatukan demi kegemilangan masyarakat Melayu generasi akan datang, kerana perpaduan ini dapat mencerahkan kehidupan rakyat Malaysia berbilang bangsa.
    2. Tetapi Bahasa Melayu mesti diutamakan sebagai bahasa rasmi bagi semua rakyat jelata, termasuk masyarakat bukan Melayu juga, mesti mengamalkan Bahasa Melayu untuk menyatukan rakyat Malaysia.
    3. Bukan seperti Negara selatan tanah air yang sudah beralih tangan kepada pemimpin bukan Melayu, sekarang mereka bermaharaja lela bertutur bahasa ibunda yang mereka desak selepas menolak Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang tiada nilai lagi.
    12/11/2015

    ReplyDelete
  2. Apalah malang bangsa kita, menerima tohmahan dari DAP membuta tuli tanpa mahu menyemak dan berfikiran kritis. Lebih malang lagi, ramai bijak pandai, orang-orang kaya berharta pun turut terpedaya. Apalah malang, sebenarnya janji DAP pasti tidak akan tertunai, tapi ketika semuanya sudah tergadai dan terlambat bolehkah ia diundurkan semula?

    ReplyDelete
  3. Blogger Din Turtle mengarut lagi. Apakah blogger Melayu pengkhianat ini memang benar mahu menolong Tun Mahathir, pembangkang dan TSMY serta Shafie Afdal menggulingkan PM Najib? Mencipta flowchart seperti dokumen palsu Claire Brown Sarawak Report? Penyokong Malaysian Insider yang tidak berhenti-henti memfitnah Perdana Menteri sekarang?
    Semua orang yang tahu IT, termasuk aku sendiri pun boleh mencipta flowchart, sama ada fakta benar atau borak.
    Cukuplah, kerajaan mesti ambil tindakan terhadap bloger Melayu pengkhianat ini.
    12/12/2015

    ReplyDelete

KOMEN JANGAN HINA AGAMA DAN PERKARA SENSITIF. AKU TAK TANGGUNGJAWAP KALAU KORANG KENA.