Sunday, 24 January 2016

FITNAH 40 RIBU BANGLA ANTARA KLIMAK PEMBOHONGAN TERBESAR PRU 13.



Difitnah dan diugut adalah antara liku-liku yang perlu ditempuhi Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sepanjang lebih tujuh tahun menerajui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Esok, genaplah usia 66 tahun Abdul Aziz dan secara automatik beliau menamatkan khidmatnya sebagai Pengerusi SPR, badan yang mengelolakan dan mengendalikan urusan pilihan raya di Malaysia.

Meskipun kerjaya itu antara pengalaman paling manis untuknya, namun Abdul Aziz terkilan dan sedih dengan fitnah serta tuduhan yang dilemparkan terhadap SPR apatah lagi ia dipercayai rakyat Malaysia.

Menurutnya, fitnah yang paling beliau ingati adalah apabila SPR dituduh sengaja memutuskan bekalan elektrik ketika proses pengiraan undi dan membawa 40,000 warga Bangladesh untuk mengundi.

"Saya sangat kecewa apabila rakyat mempercayai tuduhan itu," katanya yang sentiasa berhemah ketika bertutur dan memiliki sifat kebapaan apabila didekati, dalam temubual bersama Bernama sempena persaraannya.

Beliau menegaskan bahawa SPR adalah institusi bebas dan tidak menerima arahan daripada mana-mana pihak.
"Malangnya, persepsi negatif sudah dibentuk dan sudah melekat di fikiran mereka bahawa SPR tidak boleh dipercayai sekaligus menjadikan saya sebagai sasaran," katanya.

Katanya, mengurus persepsi masyarakat terhadap SPR adalah antara cabaran terbesar yang dihadapinya sepanjang menerajui badan itu, selain mengendalikan 26 pilihan raya kecil di seluruh negara.

Abdul Aziz turut mendedahkan beliau pernah mendapat ugutan bunuh selain menerima bungkusan berisi kepala ayam yang dihantar ke pejabatnya.

Beliau juga pernah diugut bahawa kuburnya beserta keranda yang diletakkan patung beliau sudah disediakan di Presint 20, Putrajaya.

Meskipun diugut sedemikian, Abdul Aziz tidak gentar malah sentiasa berlapang dada menjalankan tugasnya kerana berpegang pada kata-kata 'ajal maut di tangan Allah'.

Dalam melaksanakan pembaharuan terhadap proses pilihan raya negara, Abdul Aziz berkata beliau mengamalkan prinsip terbuka dengan mendengar dan melihat cadangan daripada semua pihak termasuk parti politik, badan bukan kerajaan dan individu.

Terdapat 17 pembaharuan yang dilakukan sepanjang perkhidmatannya bersama SPR antaranya penggunaan dakwat kekal, membenarkan rakyat Malaysia di luar negara dan petugas media mengundi secara pos, menjalankan pengundian awal bagi polis dan tentera, menambah baik proses penamaan calon, memanjangkan tempoh kempen, membersihkan daftar pemilih dan penggunaan pen bagi menggantikan pensel untuk memangkah kertas undi.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, masih terdapat beberapa pembaharuan yang tidak dapat dilaksanakan kerana melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Malaysia yang pastinya memerlukan persetujuan dua pertiga anggota Dewan Rakyat.

"Antaranya berkaitan pendaftaran pengundi secara automatik apabila genap usia 21 tahun dan tinjauan yang dilakukan SPR mendapati ia sukar dilakukan kerana
komposisi Dewan Rakyat.

"Tidak semua saya dapat laksanakan dalam tempoh tujuh tahun ini, tetapi pada masa akan datang jika keadaan mengizinkan mungkin perkara seperti itu dapat dilaksanakan," katanya.

Abdul Aziz berkata sistem pilihan raya di negara ini telah melalui pelbagai transformasi dan diiktiraf sebagai antara sistem terbaik di dunia oleh pemerhati luar negara.

"Jumlah yang keluar mengundi antara yang tertinggi dalam dunia dengan purata 80 peratus, proses pengiraan undi berjalan dengan baik dan boleh dilihat oleh wakil calon dan parti, keputusan pilihan raya kita pantas dan jika tidak berpuas hati boleh buat petisyen di mahkamah," jelasnya.

Pada masa akan datang, Abdul Aziz berharap beberapa pembaharuan boleh dilakukan antaranya proses pendaftaran calon secara atas talian bagi mengelakkan ketegangan antara penyokong parti politik di pusat penamaan calon.

"Yang bertanding seorang, yang datang 5,000 hingga 10,000 orang. Apabila halang mereka kata biarlah sekali-sekala meriah. Kalau meriah tak apa, tetapi berkelahi yang tidak bagus," katanya.

Abdul Aziz berharap kempen dapat dihentikan pada hari pengundian agar pengundi dapat membuat pilihan dengan tenang.

Selain itu, beliau turut berharap kesedaran dalam kalangan rakyat untuk mendaftar sebagai pemilih terus meningkat.


"Ada empat juta orang yang layak tetapi belum mendaftar. Begitu mudah untuk mendaftar sekarang jadi kalau boleh rakyat Malaysia beramai-ramai mendaftar," katanya.- Bernama

No comments:

Post a Comment

KOMEN JANGAN HINA AGAMA DAN PERKARA SENSITIF. AKU TAK TANGGUNGJAWAP KALAU KORANG KENA.