Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mengambil serius laporan DOJ itu dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak dalam siasatan.

"Sebab itu bila keluar laporan DOJ, kerajaan tetap memandang berat perkara tersebut dan mahu supaya siapa yang dinamakan itu ambil tanggungjawab bersihkan nama mereka, pastikan tiada wang rakyat disalahgunakan.

"Jadi, janganlah kita terbawa-bawa dengan hal ini, serahkan kepada proses keadilan sewajarnya kerana kita percaya lambat laun kebenaran akan diketahui jua," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat tawaran menunaikan fardu haji 1437H/2016 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 1,100 orang yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima surat tawaran tajaan Yayasan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

DOJ baru-baru ini memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan. - BERNAMA