Saturday, 27 August 2016

CHEGU BARD BUAT LAPORAN SPRM TERHADAP AZMIN ALI.. ( PEMILIHAN PKR MULA HANGAT ) ?

SUMBER FMT
Ahli PKR yang dipecat, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) membuat laporan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan ‘proksi’ di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, berhubung pelengkungan semula lahan basah Paya Indah.
Menurut Badrul, beliau memiliki bukti yang membuktikan kerajaan negeri menipu apabila ia mengatakan status pertanian taman rekreasi popular itu tidak ditukar ke status pembangunan.
Bersama bukti dan risalah yang menyimpulkan hasil penemuannya, Badrul menggesa SPRM supaya menyiasat dakwaannya secara bersungguh sepertimana dalam kes melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Bercakap di sidang media di bangunan SPRM hari ini, Badrul menyoal samada kes itu akan disiasat atau tidak, memandangkan ia mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pembinaan terkemuka.
Syarikat pembinaan itu terheret ke dalam kontroversi itu susulan penemuan Badrul kononnya ia membeli Salak Land Development Sdn Bhd, yang memiliki lot yang dipertikaikan, Lot 68054, di Mukim Tanjong Dua Belas, kawasan yang dikatakan dipulihara di bawah Konvensyen Ramsar.
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu turut mendakwa Azmin mempunyai ‘proksi’ dalam syarikat pemaju itu.
Proksi itu, dedahnya, adalah kawan Azmin dan ahli PKR Gombak.
Badrul turut menampilkan beberapa tangkap layar yang memaparkan mesej WhatsApp yang kononnya dihantar individu itu tahun lalu kepada seorang Exco kerajaan negeri memohon menyokong permohonan menukar status tanah.
“Azmin adalah ketua di bahagian Gombak dan ini membuktikan adanya percanggahan kepentingan.”
Menjawab tuduhan terbaharu ini, Exco Selangor Elizabeth Wong mengalu-alukan langkah Badrul membuat laporan kepada SPRM, walaupun terlewat.
“Saya telah menasihatkan mereka yang terlibat seawal 2 Ogos 2016 lalu agar segera memfailkan aduan tersebut, namun mereka telah mengambil masa yang begitu lama dan mengeluarkan pelbagai kenyataan media yang tidak tepat mengenai perkara berbangkit.
“Walau apapun, Kerajaan Negeri Selangor bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak SPRM dalam perkara ini demi kebenaran dan demi rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

No comments:

Post a Comment

KOMEN JANGAN HINA AGAMA DAN PERKARA SENSITIF. AKU TAK TANGGUNGJAWAP KALAU KORANG KENA.