Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Sarawak Report dilihat mem­punyai agenda untuk mengaitkan Pas dengan UMNO.

Menurut beliau, laporan tersebut mempunyai niat jahat dan mencemarkan nama baik Pas serta dasar Islam yang menjadi teras perjuangannya.

“Pas ingin menegaskan bahawa berita tersebut adalah palsu dan berniat jahat.

“Tindakan memfitnah Pas ini menjejaskan dengan teruk kepercayaan orang ramai terhadap semua laporan mereka selama ini,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau hari ini.

Kelmarin, Sarawak Report mendakwa, sebanyak RM90 juta disalurkan oleh Perdana Menteri dalam usaha mempengaruhi pucuk pimpinan Pas untuk menjauhi pakatan pembangkang.

Tuan Ibrahim menambah, tindakan ke atas Sarawak Report itu menepati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguh­nya fitnah itu sedang tidur, Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya.”

Beliau juga menggesa kepada orang ramai supaya menjauhi fitnah dan menyebarkan sebarang berita berbentuk seperti itu terutamanya laporan Sarawak Report tersebut.