Thursday, 15 September 2016

HALAL HUB SELANGOR MALAP : KJAAN NEGERI PERLU CARI ALTERNATIF LAH SELESAI MASALAH..

sumber
http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/14/selepas-13-tahun-hab-halal-selangor-masih-sunyi/

PELABUHAN KLANG: Hab Halal Selangor yang dilancarkan kerajaan negeri lebih sedekad lalu tidak jauh dari kesibukan pelabuhan West Port, namun kawasan seluas 283 hektar yang diharapkan menjadi pusat industri halal ini kini lesu dan sunyi, menurut tinjauan FMT baru-baru ini.
Suasana di sini hampir seperti tidak berpenghuni, dan kelihatan hanya beberapa kilang sahaja beroperasi, malah persekitaran kilang dipenuhi papan iklan jawatan kosong.
Hab halal ini dilancarkan pada 2003 hasil idea bekas perdana menteri, Tun Abdullah Badawi, semasa Selangor ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN), yang tewas kepada kerajaan campuran Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008.
Dalam belanjawan negeri, pembangunan hab halal turut disebut Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.
“Nilai dagangan halal global diunjur melebihi AS$46 trilion. Ini membuka peluang keemasan bagi Hub Halal Selangor untuk mengembangkan skop perniagaan dan pelaburan.
“Pada masa sama, usaha perlu diambil untuk menjadikan Selangor sebagai peneraju dalam program persijilan Halal International Selangor menerusi pembangunan program Halal Technical Competent Person (HTCP). Collaboration Agreement HTCP telah ditandatangani dengan universiti-universiti tempatan dan rakan strategik dari China, Jepun, Korea dan United Kingdom,” kata Azmin dalam ucapan belanjawan 2015.
Bukan wang kerajaan negeri
Namun tinjauan mendapati kawasan ini tidak memberikan gambaran sebuah kawasan yang pesat dengan nilai perniagaan seperti yang dihebohkan.
Exco kanan kerajaan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, tidak bersetuju.
“Tidak benar lesu,” katanya dihubungi FMT, yang memberitahu tugas merancang pembangunan hab itu kini terletak di atas bahu pelabur yang membeli tanah di zon itu.
“Sebahagian tapak yang dibeli oleh agensi kerajaan pusat seperti Felda masih belum dimajukan,” kata Teng, yang merupakan exco Pelaburan, Perindustrian IKS dan Perdagangan dan Pengangkutan.
Katanya, kerajaan negeri tidak menyediakan peruntukan bagi projek itu.
“Tidak ada isu kerajaan menyediakan peruntukan dan perkara itu tidak wujud kerana kawasan itu sudah disediakan prasarana dan dijual kepada pelabur.
“Mana boleh kerajaan sediakan peruntukan untuk tapak industri milikan persendirian? Kerajaan mana yang bagi peruntukan untuk pelabur bagi membangunkan tapak milikan pelabur?” soalnya.
Syarikat yang dipertanggungjawab membangunkan Hab Halal Selangor ialah Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB), sebuah pemaju hartanah.
Sebanyak 28 syarikat sudah mendirikan kilang di sini dengan pelaburan dianggarkan bernilai RM3 bilion dan menyediakan kira-kira 6,000 pekerjaan, dan CSSB dilaporkan menyasarkan 40 syarikat akan mendirikan kilang mereka di hab itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CSSB Mahmud Abbas sebelum ini dilaporkan berkata, pelaburan di Pulau Indah sudah mencecah kira-kira RM15 bilion.
Menurut laman web CSSB, antara syarikat yang bertapak di kawasan ini termasuk pengusaha bahan mentah seperti Oleon, Felda, G&U dan Golden Palmolina, pengusaha bidang makanan seperti Secret Recipe, Sydney Cake House dan Envitech, Ramly Food, Kawan Food, PML Dairies (F&N).

No comments:

Post a Comment

KOMEN JANGAN HINA AGAMA DAN PERKARA SENSITIF. AKU TAK TANGGUNGJAWAP KALAU KORANG KENA.