Friday, 13 January 2017

DATUK JOHARI : JANGAN SAMAKAN MALAYSIA DENGAN SRI LANKA


SUMBER


KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan menerima nasib sama dengan Sri Lanka yang terpaksa memajak aset penting mereka kepada China, kata timbalan menteri kewangan II.
Datuk Johari Abdul Ghani mengulas tindakan Sri Lanka memajak pelabuhan laut dalam Hambantota dan tanah seluas 15,000 ekar di sekitarnya selama 99 tahun kepada sebuah syarikat yang 80% pegangannya dimiliki kerajaan China.
Ia susulan kegagalan Sri Lanka membayar hutang RM4.9 bilion (AS$1.1 bilion) bagi projek Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa di negara itu.
Johari berkata, Malaysia tidak boleh disamakan dengan Sri Lanka kerana kerajaan sentiasa berwaspada terhadap pelaksanaan sebarang projek pembangunan bagi memastikan kejayaannya.
“Itu Sri Lanka dan ini Malaysia. Mana-mana syarikat (China) yang hendak berdagang dengan kita perlu memiliki reputasi baik,” katanya dalam satu acara di ibu negara, hari ini.
Menurut laporan Forbes pada 28 Oktober lalu, Sri Lanka berhasrat membina sebuah bandar dan ekonomi baharu di sebuah kawasan terpencil melalui projek pembangunan Hambantota.
Pelabuhan Hambantota gagal menarik kemasukan kapal kargo, manakala Mattala pula digelar “lapangan terbang paling lengang di dunia”.
Semalam, Timbalan Pengerusi Bantah-TPPA, Azlan Awang memberi amaran kepada Putrajaya kerana nampak persamaan dalam hutang kedua-dua negara bagi projek pembangunan dengan China.
Aktivis sosio-ekonomi itu berkata, tindakan kerajaan yang ghairah dan cuai dalam mengejar pelaburan menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang besar.
“China tentunya tidak memberikan wang kerana ingin berbudi…Beijing mungkin tidak perlu menghantar tenteranya, tetapi pajakan Pelabuhan Hambantota dan 15,000 ekar tanah selama 99 tahun menjadikan ia jajahan mereka.
“Bagaimana dengan Malaysia jika gagal membayar hutang kita yang besar itu?” soalnya dalam laporan FMT semalam.
Antara usaha sama Malaysia dengan China adalah projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620km yang dijangka menelan kos RM55 bilion.
Projek pembangunan lain yang turut melibatkan pelaburan China ialah Melaka Getaway dan Bandar Malaysia di Johor.

No comments:

Post a Comment

KOMEN JANGAN HINA AGAMA DAN PERKARA SENSITIF. AKU TAK TANGGUNGJAWAP KALAU KORANG KENA.