Friday, 10 February 2017

3 BUKTI BARU DIDEDAHKAN ( TAHUNNYA PULA 1958/1966 MELEPASI TAHUN DAKWAAN SINGAPURA IAITU BUKTI SURAT 1953 )

SUMBER
 Sepucuk surat daripada pegawai tinggi tanah jajahan Singapura pada 1958, satu laporan kejadian membabitkan kapal tentera laut British pada tahun sama dan sebuah peta Singapura pada 1966 adalah bukti baru yang dikemukakan Malaysia untuk menuntut kembali Pulau Batu Puteh.
The South China Morning Post menerusi ruangan This Week in Asia mendedahkan dokumen mahkamah difailkan Malaysia pada 3 Februari lalu.
Malaysia mendakwa 3 dokumen itu mungkin dapat mengubah keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang memberikan kedaulatan pulau sebesar sebuah padang bola sepak itu kepada Singapura.
Dalam kenyataan terbarunya, Malaysia berkata, telegram sulit yang dihantar gabenor Singapura kepada setiausaha negara bagi tanah jajahan di London, pada 1958, menunjukkan beliau “tidak menganggap Pulau Pedra Branca/Pulau Batu Puteh sebahagian daripada wilayah Singapura”.
Gabenor itu mencadangkan sebuah koridor laut lepas antarabangsa diwujudkan “hanya 1 batu dari Pedra Branca/ Pulau Batu Puteh”, menurut dokumen mahkamah yang dilihat This Week in Asia.
“Jika beliau sudah faham atau dinasihatkan yang Pedra Branca/Pulau Batu Puteh di bawah kedaulatan Singapura, tiada keperluan untuk beliau menyokong pewujudan laluan antarabangsa begitu dekat dengan pulau itu,” kata kenyataan Malaysia.
Dokumen ke-2 ialah laporan satu insiden di mana kapal tentera laut British diarah mempertahankan perairan Singapura, “tidak menganggap perairan sekitar Pedra Branca/ Pulau Batu Puteh sebagai milik Singapura”.
Laporan kejadian itu yang dihantar kepada gabenor Singapura menyatakan sebuah kapal tentera laut British tidak dapat membantu kapal Malaysia yang diekori sebuah kapal perang Indonesia kerana ia “masih berada di perairan Johor”.
Dokumen ke-3 ialah sebuah peta bertarikh 1962, tetapi ditanda dengan tarikh Februari 1966, di mana kenyataan Malaysia berkata, ia menunjukkan perairan Singapura “tidak diperluaskan ke kawasan sekitar Pedra Branca/Pulau Batu Puteh”, menurut This Week in Asia.
Menurut kenyataan itu, Malaysia menjalankan penyelidikan di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 hingga 30 Januari 2017.
“Permohonan ini bukan rayuan terhadap penghakiman 2008. Sebaliknya, ia untuk memaklumkan mahkamah mengenai penemuan Malaysia baru-baru ini, iaitu walaupun selepas surat-menyurat 1953 dan ketika Singapura menjadi sebuah kawasan jajahan sendiri, Singapura, di peringkat tertinggi kerajaan itu tidak mempunyai pandangan ia mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Puteh,” menurut dokumen mahkamah dipetik This Week in Asia.
“Singapura kemudiannya membawa penilaian ini ketika menyertai Malaysia pada 1963 dan susulan itu, penilaian itu kekal mengawal kemerdekaan Singapura pada 1965,” menurut dokumen itu.
“Ia adalah pertikaian Malaysia yang mahkamah akan terikat membuat kesimpulan berbeza mengenai soal kedaulatan ke atas Pedra Branca jika mereka menemui bukti baru ini.”
Malaysia pada 3 Februari lalu memfailkan semakan semula penghakiman ICJ pada 2008 ke atas Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura.
Sabtu lalu, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam yang dipetik Channel NewsAsia berkata, sebuah pasukan undang-undang yang ditubuhkan republik itu akan meneliti dokumen dikemukakan Malaysia kepada ICJ serta memberi respon sewajarnya.
Menurut laporan itu, permohonan Malaysia perlu memenuhi kriteria khusus diperuntukkan Perkara 61 Statut ICJ, sebelum semakan penghakiman boleh dibuat.
Pulau Batu Puteh terletak kira-kira 40km dari Singapura dan 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia dan Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan di mana pulau itu terletak.
Menurut laporan berkenaan, keputusan pada 2008 itu menamatkan pertikaian yang bermula apabila Malaysia mendedahkan sebuah peta pada 1979 yang menggambarkan pulau itu berada dalam perairan negara, menurut laporan itu.
Keputusan ICJ pada 2008 itu dibuat berdasarkan sepucuk surat pemangku setiausaha penjajah di Johor kepada pegawai Singapura, pada 1953, yang menunjukkan Malaysia tidak menyatakan pulau itu milik negara.

No comments:

Post a Comment

KOMEN JANGAN HINA AGAMA DAN PERKARA SENSITIF. AKU TAK TANGGUNGJAWAP KALAU KORANG KENA.