Tuesday, 28 March 2017

PERTEMBUNGAN 2 KEM PAS DI KELANTAN.


SUMBER
Walaupun mereka yang tidak sehaluan dengan saf kepimpinan tertinggi sudah lama disingkirkan, ia tidak bermakna PAS kini bebas daripada pergolakan dalaman menjelang muktamar bulan depan.
Sudah ada tanda-tanda berlaku perebutan kuasa di antara Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz, dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah atau juga dikenali Nik Amar, kata seorang pemerhati veteran yang banyak menulis tentang politik PAS.
Mohd Sayuti Omar berkata, tindakan Nik Abduh, yang juga anak bekas mursyidul am PAS, bertanding untuk jawatan kedua tertinggi di PAS Pengkalan Chepa baru-baru ini, membuktikan cita-cita ahli Parlimen Pasir Mas itu untuk mengikuti langkah bapanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Ia masih berlaku di bawah karpet, tetapi sudah wujud 2 kem di Kelantan, di antara Nik Abduh dan Nik Amar.
“Perselisihan itu adalah untuk merebut takhta, dan takhta yang dimaksudkan adalah jawatan menteri besar,” Sayuti memberitahu FMT.
“Bagi saya, Nik Abduh mempunyai cita-cita untuk menjadi menteri besar Kelantan. Tindakannya masuk ke Pengkalan Chepa adalah bertujuan untuk menjatuhkan kem Nik Amar,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Nik Abduh bertanding menentang Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Husin untuk jawatan timbalan yang dipertua, tetapi hanya memungut 37 undi berbanding Izani yang mendapat 209 undi.
Ada yang melihat kekalahan itu tamparan hebat untuk Nik Abduh yang merupakan anak kepada tokoh PAS paling berpengaruh era ini.

No comments:

Post a Comment

KOMEN JANGAN HINA AGAMA DAN PERKARA SENSITIF. AKU TAK TANGGUNGJAWAP KALAU KORANG KENA.