Monday, 27 March 2017

WAJIB VIRAL : KENYATAAN BEKAS KETUA HAKIM NEGARA ( ADA DISEBUT LINA JOY )


Seorang bekas ketua hakim negara mentafsir Perlembagaan Persekutuan dengan cara yang menjadikan undang-undang Islam sebagai undang-undang kedua tertinggi di Malaysia.
Ini kerana kata Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, sama seperti undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan menjadi tidak sah, undang-undang bertentangan sumber utama undang-undang Islam – Al-Quran dan Sunnah – juga tidak sah.
Menjelaskan tafsiran beliau, Fairuz yang merupakan ketua hakim negara dari 2003 hingga 2007, memetik penghakiman Majlis Privy berhubung 1 kes di Singapura, di mana ia berkata undang-undang yang sah mesti mematuhi peraturan asas ditetapkan English Common Law.
“Pandangan ini seolah-olah diterima pakai di Malaysia juga. Tetapi disebabkan Islam ialah agama persekutuan, sudah tentu prinsip asas undang-undang ini perlu berasaskan bukan sahaja kepada English Common Law, tetapi (juga) undang-undang syariah.
“Saya mahu menekankan aspek kehakiman dalam takrif Islam di mana al-Quran dan Sunnah adalah sumber utama undang-undang Islam.
“Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan menyatakan undang-undang bertentangan Perlembagaan Persekutuan tidak sah, dari segi peruntukan bercanggah. Dengan itu, undang-undang bertentangan al-Quran dan Sunnah juga menjadi tidak sah.”
Katanya ketika memberi syarahan mengenai “Islam sebagai Undang-undang Negara” di Hotel Majestic hari ini.
Fairuz berkata, British ketika menjajah Tanah Melayu mengehadkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau memberi tafsiran lebih luas melalui penghakiman ke atas kes Lina Joy.
“Perkataan ‘Islam’ dalam konteks Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bermakna tindakan berkaitan ritual dan upacara Islam.”
Perkara 3 menyatakan Islam sebagai agama persekutuan.
“Dalam kes Lina Joy, ketika saya menjadi ketua hakim, saya berkata Islam juga adalah cara hidup lengkap merangkumi semua aspek aktiviti manusia, termasuk badan kehakiman, politik, dan ekonomi antara lain,” katanya.
Oleh itu, dengan membaca Perkara 3 dan 4 bersama, Fairuz mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan undang-undang Islam kedua tertinggi.
Dalam kes Lina Joy, wanita Melayu Islam itu mahu memeluk agama Kristian untuk mengahwini teman lelakinya, tetapi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertegas beliau perlu mengemukakan sijil daripada Mahkamah Syariah, yang tidak dimilikinya.
Peguamnya berhujah JPN hanya perlu mempertimbangkan sijil pembaptisan daripada gereja untuk memudahkan pertukaran nama dan agama.
Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti pada 2007 menolak rayuan itu dan memutuskan “seseorang yang mahu keluar daripada agamanya perlu mematuhi undang-undang sedia ada atau amalan agama tertentu”.

No comments:

Post a Comment

KOMEN JANGAN HINA AGAMA DAN PERKARA SENSITIF. AKU TAK TANGGUNGJAWAP KALAU KORANG KENA.